Rabu, 1 Mei 2013

Tentukan Niat: Ustaz Mohd Fadzilah

Ustaz Mohd Fadzilah (kiri) bersama Haji Mohamad Sidik, Pengerusi PDM
Penceramah bebas, Ustaz Mohd Fadzilah Zulkifli meminta semua pihak yang terbabit dengan kerja-kerja pilihanraya menetapkan niat bekerja semata-mata kerana Allah sekiranya ingin mendapatkan keredhaan-Nya.
     "Masa berjam-jam sehari kita habiskan untuk kerja-kerja parti akan sia-sia sekiranya niat tidak betul," katanya sewaktu diundang berceramah di PDM Paroi Jaya malam tadi.
     "Kalau kita kejar akhirat, dunia akan mengikut tapi kalau kita kejar dunia semata-mata, segalanya akan sia-sia," tegasnya.
     Bercakap atas tajuk `Rahsiah Istighfar', Ustaz Mohd Fadzilah berkata ruang kosong yang ada perlu dimanfaatkan untuk memohon maaf atas kesilapan dan kealfaan yang telah dilakukan dengan melafazkan Istigfar.
     "Dan antara rahsiah untuk menjadi ahli syurga, elakkan sama sekali bersangka buruk dengan sesiapa," tegasnya.

Selasa, 30 April 2013

Wakil Rakyat Itu Kuli Rakyat: Wan Salwati


Suatu ketika dahulu apabila ada penceramah atau peserta seminar yang menyatakan `Wakil Rakyat Itu Kuli Rakyat' ramai yang menganggap kata-kata itu agak kurang sopan atau keterlaluan.
     Bagaimanapun masa berubah. Rakyat Malaysia khususnya pemimpin generasi muda semakin berpijak di bumi nyata,
     "Hari ini jawatan Wakil Rakyat bukan lagi jawatan yang menuntut penghormatan rakyat tetapi perlu menjadi kuli kepada rakyat," begitu ditegaskan calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah pada majlis memperkenalkan diri di Taman Pinggiran Golf petang tadi.
     "Sebagai kuli rakyat, kita perlu menjadi penghubung mereka dengan pihak-pihak yang berkaitan. Setelah dipilih bermakna kita telah diberi amanah untuk menjaga kebajikan mereka," katanya lagi.
     Majlis turut dihadiri dua mantan Exco Kerajaan Negeri, Dato' Haji Ismail Kamat dan Dato' Hajah Dermaktaksiah Abdul Jalil.

Sabtu, 27 April 2013

Mendekati Pengundi di Pasar Tani



Peniaga dan pengunjung Pasar Tani Taman Paroi Jaya memberi reaksi positif sewaktu didekati calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah dan calon Parlimen Seremban, Dr. Yeow Chai Tiam pagi ini.
     Selain senyuman manis dan sambutan mesra diberikan, kedua-dua calon ini nampaknya turut dikenali oleh sebahagian daripada mereka.
    "Oh! Datuk! Saya sudah kenal lama Datuk. Nanti selalu-selalulah tengok kami di sini," kata salah seorang peniaga ketika didekati Datuk Yeow.
     Bagi Wan Salwati pula, oleh kerana Allahyarham datuknya adalah penduduk Taman Paroi Jaya, dia mudah dikenali oleh sebahagian penduduk setempat.
   

Minum Pagi Bersama Calon

Calon DUN Sikamat, Wan Salwati memperkenalkan diri

Calon Parlimen Seremban. Dr. Yeow Chai Tiam

Antara penduduk yang akan memastikan DUN Sikamat kembali ke pangkuan BN

Dalam kesibukan, kedua-dua calon sempat mendekati pengundi
Lebih 100 pengundi turut serta dalam majlis Minum Pagi Bersama Calon anjuran UMNO Cawangan Taman Paroi Jaya di bilik gerakannya di Jalan Kedidi 3 pagi tadi.
     Majlis itu diadakan bagi memperkenalkan calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah dan calon Parlimen Seremban, Dr. Yeow Chai Tiam.
    Berdasarkan sambutan baik yang diberikan, Pengerusi PDM Paroi Jaya, Haji Mohamad Sidik Maamor yakin majoriti yang diperolehi daripada Pusat Mengundi Paroi Jaya dapat ditingkatkan daripada PRU Ke-12 lalu.
    "Saya yakin kita akan dapat lebih 117 undi majoriti seperti yang berlaku pada tahun 2008 yang lalu," katanya.
     Setiausaha PDM Paroi Jaya, Haji Abd. Khalid Mohamad yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini juga dapat melihat perubahan sikap pengundi kali ini.

Wan Salwati itu adalah anak Abdullah Awang Embun

Bagi pengundi yang berumur 50 tahun ke atas, mereka mungkin tidak kenal secara dekat calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah. Bagaimanapun bagi mereka yang bergerak dalam pertubuhan belia, budaya dan pertubuhan sukarela yang lain sekitar tahun 70, 80 dan 90-an, nama Abdullah Awang Embun cukup dekat dengan mereka. Wal Salwati adalah anak sulung Abdullah.
     Haji Abdullah yang ditemui di majlis Minum Pagi Bersama Calon DUN Sikamat dan Parlimen Seremban di Bilik Gerakan BN di Jalan Kedidi 3, Taman Paroi Jaya pagi tadi menjelaskan beliau tidak dapat bersama-sama sewaktu hari penamaan calon tempoh hari kerana beliau adalah penyokong calon BN DUN Bayan, Kedah.
     "Setelah bersara pada tahun 2004 saya balik ke kampung asal di Kampung Dalam Buang, Kedah dan pada tahun 2008 isteri meninggal dunia. Sejak itu saya terus menetap di Kedah," katanya.
    Bagaimanapun bagi membantu anaknya berkempen, Haji Abdullah kini tinggal di rumah lamanya di Jiboi.

   

Jumaat, 26 April 2013

Wanita dan Puteri Bagai Ibu dan Anak: Bukannya Madu!

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil meminta ahli-ahlinya turut memberi sokongan padu kepada calon daripada Puteri UMNO kerana sebagai orang yang lebih dewasa, calon kalangan Puteri perlukan bimbingan dan sokongan.
     "Wanita dan Puteri bagaikan ibu dan anak; bukannya madu untuk dijadikan saingan," katanya sewaktu sempat singgah di PDM Paroi Jaya petang tadi.
     "Sebagai ibu, sewajarnya kita memberi tunjuk ajar. Kejayaan anak adalah kejayaan ibu juga," katanya.
     Sebagai bukti sokongannya kata Shahrizat, beliau sempat bertemu beberapa calon Puteri UMNO yang diberikan kepercayaan bertanding kali ini untuk menyatakan sokongan secara peribadi.
     "Bagi pengundi DUN Sikamat, tuan-puan bertuah kerana Wan Salwati ada pakej yang agak lengkap sebagai calon - masih muda, ada rupa, punya kebolehan berpidato dan sejak muda terbabit dalam pertubuhan sukarela," katanya.
     Turut hadir dalam majlis itu Raja Datin Seri Salbiah Megat Nujumudin, isteri Menteri Besar, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Seremban dan Rasah dan kepimpinan Wanita UMNO sekitar Seremban.

Rabu, 24 April 2013

Mendekati Penduduk Paroi Jaya dan Pinggiran Golf

Walaupun baharu lima hari tempoh berkempen, calon DUN Sikamat Wan Salwati Haji Abdullah berpeluang mendekati pengundi Taman Paroi Jaya, Taman Pinggiran Golf, Taman PJ Perdana dan kawasan sekitarnya melalui pelbagai program.
     Pada malam sebelum hari penamaan calon lagi, Wan Salwati berpeluang memperkenalkan dirinya di Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Anugerah Cemerlang Pelajar diikuti pertemuan dengan jawatankuasa penggerak PDM Paroi Jaya di samping kunjungan ke rumah penduduk.
     Selepas solat zohor semalam, Wan Salwati yang ditemani Haji Mohamad Sidik dan jawatankuasa sempat berkunjung ke rumah kira-kira 50 penduduk Taman Pinggiran Golf.
     Pada masa yang sama poster dan bunting Wan Salwati mula kelihatan di merata-rata tempat di kawasan perumahan yang membabitkan kira-kira 5,000 pengundi ini.