Jumaat, 26 April 2013

Wanita dan Puteri Bagai Ibu dan Anak: Bukannya Madu!

Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil meminta ahli-ahlinya turut memberi sokongan padu kepada calon daripada Puteri UMNO kerana sebagai orang yang lebih dewasa, calon kalangan Puteri perlukan bimbingan dan sokongan.
     "Wanita dan Puteri bagaikan ibu dan anak; bukannya madu untuk dijadikan saingan," katanya sewaktu sempat singgah di PDM Paroi Jaya petang tadi.
     "Sebagai ibu, sewajarnya kita memberi tunjuk ajar. Kejayaan anak adalah kejayaan ibu juga," katanya.
     Sebagai bukti sokongannya kata Shahrizat, beliau sempat bertemu beberapa calon Puteri UMNO yang diberikan kepercayaan bertanding kali ini untuk menyatakan sokongan secara peribadi.
     "Bagi pengundi DUN Sikamat, tuan-puan bertuah kerana Wan Salwati ada pakej yang agak lengkap sebagai calon - masih muda, ada rupa, punya kebolehan berpidato dan sejak muda terbabit dalam pertubuhan sukarela," katanya.
     Turut hadir dalam majlis itu Raja Datin Seri Salbiah Megat Nujumudin, isteri Menteri Besar, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Seremban dan Rasah dan kepimpinan Wanita UMNO sekitar Seremban.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan