Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Aktiviti. Papar semua catatan

Jumaat, 3 Mei 2013

Pesara Jangan Malu Tunjukkan Sokongan

"Jangan malu," Dato' Seri Abd. Rahman Hamid

"Barisan Nasional perlu dipertahankan," Sharif Ahmad

Antara hadirin yang turut hadir
Pesara kerajaan diminta menyatakan sokongan secara jelas kepada Barisan Nasional dengan turut serta dalam kempen atau aktiviti parti sebagai menyatakan terima kasih kerana pelbagai nikmat yang diperolehi sewaktu bertugas dahulu.
     Mantan Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Dato' Seri Abd. Rahman Hamid berkata berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi sewaktu bertugas dahulu, ia boleh dimanfaatkan kepada orang ramai dengan memberi peluang kepada pengundi membuat pilihan bijak.
     "Walaupun kita pernah berada dalam kedudukan tertinggi sewaktu bertugas, kita jangan malu untuk menyatakan secara jelas sokongan kita kepada Barisan Nasional.
     "Mengapa perlu malu! Kita banyak terhutang budi kepada kerajaan Barisan Nasional yang menyediakan pelbagai kemudahan sejak kita berada di alam persekolahan sehinggalah bersara," tegasnya.
    "Saya sendiri anak ulu kampung Sungai Muar. Kalau tidak adalah biasiswa dan sebagainya, saya mungkin sama seperti rakan-rakan lain yang kelihatan terlalu tua berbanding umurnya sewaktu saya temui baru-baru ini.
     "Bayangkan! Saya membahasakan dirinya makcik sewaktu ditegur oleh seorang wanita ketika balik kampung baru-baru ini.
     "Ingat saya lagi tak?," tanya wanita itu.
     "Dalam suasana terkial-kial untuk mengingatinya, saya memanggilnya makcik sedangkan wanita itu adalah rakan sekelas saya," katanya yang disambut dengan ketawa.
     Dato' Seri Abd. Rahman turut berceramah di majlis anjuran UMNO cawangan Paroi Jaya di Jalan Kedidi 3 malam tadi. Turut berceramah mantan pegawai pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Sharif Ahmad.

Setianya Haji Mohd Ali Hasbullah

Haji Mohd Ali (tiga dari kiri) bersama calon
Setiap kali pilihanraya, Haji Mohd Ali Hasbullah tidak pernah melepaskan peluang menyatakan sokongan padunya kepada Barisan Nasional dengan menganjurkan majlis memperkenalkan calon di rumahnya di Taman Pinggiran Golf, Seremban.
     Menariknya majlis yang diadakan agak `mewah' itu menggunakan bajetnya sendiri tanpa bergantung kepada parti.
   
Wan Salwati memperkenalkan dirinya
Malam tadi, bekas ahli jawatankuasa Pemuda dan UMNO Bahagian Seremban ini sekali lagi berbuat demikian. Kali ini untuk memperkenalkan calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah kepada jiran-jiran terdekat.
     "Saya merasa bertanggungjawab untuk memperkenalkan calon BN kepada masyarakat setempat supaya mereka tahu siapa wakil mereka. Pada masa yang sama, saya juga meminta calon untuk datang lagi untuk menjenguk kami setelah menang," kata Haji Mohd Ali yang kini menjalankan perniagaan satey di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Rabu, 1 Mei 2013

Tolong Mereka Sekali: Boleh Minta Tolong Berkali-kali

 "Tolong mereka kali ini. Sekali sahaja. Lepas ni kita boleh minta mereka tolong berkali-kali," begitulah pinta Ketua Penerangan PERKASA Kebangsaan, Haji Roslan Kassim sewaktu berceramah membantu calon Parlimen Seremban dan DUN Sikamat di PDM Paroi Jaya malam tadi.
     "Kalau kita telah melakukan kesilapan kerana mengetepikan calon Barisan Nasional pada kedua-dua kerusi ini dalam PRU Ke-12, kali ini kita kembalilah ke pangkal jalan," tegasnya.
     Menurut Roslan, kedua-dua calon ini lebih baik jika dibandingkan dengan pesaingnya.
     "Saya telah kenal Wan Salwati sejak awal 90-an lagi. Saya juga kenal ayah dan ibunya. Wan Salwati mempunyai keperibadian kukuh sama ada dalam aspek keagamaan atau kepemimpinan.
     "Dia terdedah dengan aktiviti NGO sejak muda dan terus bergerak aktif sama ada dalam pertubuhan politik atau belia," tegasnya.
     "Dalam tubuh Wan Salwati mengalir darah pejuang hasil didikan ayah dan ibunya yang juga bergerak aktif dalam pelbagai pertubuhan sukarela.
     Mengenai Parti Keadilan Rakyat, Roslan berkata beliau turut mengasaskan pasti itu dan menyifatkan tempoh lima tahun bersama parti itu adalah sia-sia.

Harmoni dan Berkasih-Sayang


Calon BN Parlimen Seremban, Dr. Yeow Chai Thiam akan terus berusaha mewujudkan masyarakat harmoni dan berkasih-sayang sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi dalam PRU Ke-13 ini.
     "Sejak lama saya percaya Malaysia hanya boleh menjadi negara maju dan disegani sekiranya rasa selamat dan harmoni wujud dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama ini," katanya di PDM Paroi Jaya malam tadi.
     Dr. Yeow, pengasas Hospital Mawar telah berjaya membuktikan sikap prihatinnya itu apabila mengambil inisiatif memperjuangkan nasib penyakit buah pinggang dengan menyediakan kemudahan himodelisis.
     

Tiga Keutamaan Untuk Paroi Jaya

Calon Barisan Nasional DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah telah mengenalpasti tiga perkara utama yang diperlukan oleh pengundi Taman Paroi Jaya, Taman Pinggiran Golf, Taman PJ Perdana dan kawasan sekitarnya.
     "Pertamanya Dewan Orang Ramai di kawasan  masjid, memagar padang di Jalan Nuri dan ketiganya lampu jalan yang lebih terang.
     "Insya-Allah, ketiga-tiga perkara ini ada dalam pengetahuan saya dan akan diambil tindakan sekiranya diberi kepercayaan nanti," katanya kepada pengundi di PDM Paroi Jaya malam tadi.
     Seperti biasa, beliau menegaskan nama Wan Salwati tidak penting. " Apa yang lebih utama, Barisan Nasional yang saya wakili perlu diberi mandat untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat," tegasnya.

Tentukan Niat: Ustaz Mohd Fadzilah

Ustaz Mohd Fadzilah (kiri) bersama Haji Mohamad Sidik, Pengerusi PDM
Penceramah bebas, Ustaz Mohd Fadzilah Zulkifli meminta semua pihak yang terbabit dengan kerja-kerja pilihanraya menetapkan niat bekerja semata-mata kerana Allah sekiranya ingin mendapatkan keredhaan-Nya.
     "Masa berjam-jam sehari kita habiskan untuk kerja-kerja parti akan sia-sia sekiranya niat tidak betul," katanya sewaktu diundang berceramah di PDM Paroi Jaya malam tadi.
     "Kalau kita kejar akhirat, dunia akan mengikut tapi kalau kita kejar dunia semata-mata, segalanya akan sia-sia," tegasnya.
     Bercakap atas tajuk `Rahsiah Istighfar', Ustaz Mohd Fadzilah berkata ruang kosong yang ada perlu dimanfaatkan untuk memohon maaf atas kesilapan dan kealfaan yang telah dilakukan dengan melafazkan Istigfar.
     "Dan antara rahsiah untuk menjadi ahli syurga, elakkan sama sekali bersangka buruk dengan sesiapa," tegasnya.

Sabtu, 27 April 2013

Mendekati Pengundi di Pasar Tani



Peniaga dan pengunjung Pasar Tani Taman Paroi Jaya memberi reaksi positif sewaktu didekati calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah dan calon Parlimen Seremban, Dr. Yeow Chai Tiam pagi ini.
     Selain senyuman manis dan sambutan mesra diberikan, kedua-dua calon ini nampaknya turut dikenali oleh sebahagian daripada mereka.
    "Oh! Datuk! Saya sudah kenal lama Datuk. Nanti selalu-selalulah tengok kami di sini," kata salah seorang peniaga ketika didekati Datuk Yeow.
     Bagi Wan Salwati pula, oleh kerana Allahyarham datuknya adalah penduduk Taman Paroi Jaya, dia mudah dikenali oleh sebahagian penduduk setempat.
   

Minum Pagi Bersama Calon

Calon DUN Sikamat, Wan Salwati memperkenalkan diri

Calon Parlimen Seremban. Dr. Yeow Chai Tiam

Antara penduduk yang akan memastikan DUN Sikamat kembali ke pangkuan BN

Dalam kesibukan, kedua-dua calon sempat mendekati pengundi
Lebih 100 pengundi turut serta dalam majlis Minum Pagi Bersama Calon anjuran UMNO Cawangan Taman Paroi Jaya di bilik gerakannya di Jalan Kedidi 3 pagi tadi.
     Majlis itu diadakan bagi memperkenalkan calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah dan calon Parlimen Seremban, Dr. Yeow Chai Tiam.
    Berdasarkan sambutan baik yang diberikan, Pengerusi PDM Paroi Jaya, Haji Mohamad Sidik Maamor yakin majoriti yang diperolehi daripada Pusat Mengundi Paroi Jaya dapat ditingkatkan daripada PRU Ke-12 lalu.
    "Saya yakin kita akan dapat lebih 117 undi majoriti seperti yang berlaku pada tahun 2008 yang lalu," katanya.
     Setiausaha PDM Paroi Jaya, Haji Abd. Khalid Mohamad yang bertungkus-lumus menjayakan majlis ini juga dapat melihat perubahan sikap pengundi kali ini.

Wan Salwati itu adalah anak Abdullah Awang Embun

Bagi pengundi yang berumur 50 tahun ke atas, mereka mungkin tidak kenal secara dekat calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah. Bagaimanapun bagi mereka yang bergerak dalam pertubuhan belia, budaya dan pertubuhan sukarela yang lain sekitar tahun 70, 80 dan 90-an, nama Abdullah Awang Embun cukup dekat dengan mereka. Wal Salwati adalah anak sulung Abdullah.
     Haji Abdullah yang ditemui di majlis Minum Pagi Bersama Calon DUN Sikamat dan Parlimen Seremban di Bilik Gerakan BN di Jalan Kedidi 3, Taman Paroi Jaya pagi tadi menjelaskan beliau tidak dapat bersama-sama sewaktu hari penamaan calon tempoh hari kerana beliau adalah penyokong calon BN DUN Bayan, Kedah.
     "Setelah bersara pada tahun 2004 saya balik ke kampung asal di Kampung Dalam Buang, Kedah dan pada tahun 2008 isteri meninggal dunia. Sejak itu saya terus menetap di Kedah," katanya.
    Bagaimanapun bagi membantu anaknya berkempen, Haji Abdullah kini tinggal di rumah lamanya di Jiboi.

   

Rabu, 24 April 2013

Wan Salwati di PDM Paroi Jaya


Dalam kesibukan, calon DUN Sikamat Wan Salwati Haji Abdullah sempat berkunjung sekali lagi ke PDM Paroi Jaya di Jalan Cenderawasih 1, malam tadi.
     Kali ini beliau menyertai Majlis Silaturrahim dan Kenali Calon Anda anjuran PDM berkenaan.
     Majlis ini turut dihadiri bekas Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Ampangan, Datuk Haji Zakaria Nordin. Beliau meminta penduduk setempat memberi sokongan padu kepada Wan Salwati.

Jawatankuasa PDM Paroi Jaya Bersama-sama Calon


Sebelum mendekati rakyat, calon Parlimen Seremban Dr. Yeow Chai Thiam dan calon DUN Sikamat, Wan Salwati Haji Abdullah sempat berkenalan lebih dekat dengan Jawatankuasa PDM Paroi Jaya di rumah pengerusinya Haji Mohamad Sidik Maamor malam kelmarin.
     Haji Mohamad Sidik juga diberi penghormatan sebagai wakil calon kepada Wan Salwati sewaktu majlis penamaan calon tempohari.
     Pertemuan ini membolehkan jawatankuasa mengenal latar belakang mereka sebelum bergerak aktif untuk berkempen di kawasan perumahan yang membabitkan Taman Paroi Jaya, Taman Pinggiran Golf, Taman PJ Perdana dan kawasan persekitarannya.
     Beberapa program dan tindakan telah diatur bagi memastikan calon benar-benar dikenali oleh pengundi.

Selasa, 19 Mac 2013

Pelaksanaan Tindakan



MESYUARAT Jentera Pilihan Raya UMNO Cawangan Paroi Jaya Indah yang berlangsung malam tadi (19 Mac 2013) di Pusat Daerah Mengundi Paroi Jaya telah memperincikan pelaksanaan tindakan yang perlu dilakukan sesegera mungkin.
     Mesyuarat sepakat untuk memaksimumkan gandingan tenaga yang ada untuk mendekati pengundi yang berada di Taman Paroi Jaya, Taman Pinggiran Golf, Taman PJ Perdana dan kawasan sekitarnya.
     Pasukan Jaringan Rakyat (JR) yang diketuai bekas ADUN Ampangan, Dato' Hajah Dermataksiah Abdul Jalil akan menggerakkan kira-kira 100 ahli pasukannya untuk menemui pengundi di rumah.
     "Adalah diharapkan, penduduk di sini memberi kerjasama sewaktu kami datang untuk memberi penjelasan dan untuk mendapatkan maklum balas," katanya.
     Di samping itu beberapa program sudah dirangka untuk mendekatkan parti dengan pelbagai lapisan masyarakat yang ada.
     Antaranya ceramah isu-isu semasa, perkhemahan untuk golongan belia, bengkel mengendalikan media baharu, kutipan Tabung Lahad Datu dan pelbagai lagi.

Ahad, 10 Mac 2013

Mesyuarat Kedua

Bilik Gerakan di No. 469 Lorong Cenderawasih 1, Taman Paroi Jaya.
MESYUARAT Kedua PDM Paroi Jaya yang berlangsung pada 6 Mac baru-baru ini telah dapat memperincikan setiap tugas ahli jawatankuasa.

Sehingga tarikh ini adalah dapat dikenalpasti terdapat 3,577 pengundi tinggal di Taman Paroi Jaya, 684 orang di Taman Pinggiran Golf, 71 orang di Taman PJ Perdana dan 15 orang di kuarters Klinik Ampangan. Kesemua mereka akan membuang undi di Sekolah Kebangsaan Taman Paroi Jaya.

Bagi memudahkan pengundi, pelbagai strategi telah diputuskan. Antaranya mendekati mereka untuk mendapatkan maklumat semasa, menyediakan kenderaan atau kerusi roda bagi mereka yang mememerlukan.

"Pastinya kami mahukan setiap pengundi berada dalam keadaan selesa ke pusat membuang undi nanti."