Jumaat, 22 Mac 2013

BN ingatkan jentera jangan sombong


SUBANG: Barisan Nasional (BN) memberi amaran kepada jenteranya supaya jangan bersikap sombong ketika berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) nanti.
Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor Datuk Seri Zin Mohamed berkata, sifat sombong itu hanya akan merugikan parti dan BN untuk meraih semula sokongan rakyat negeri itu.
“Kesombongan itu mesti dihapuskan. Letakkan kepentingan rakyat berbanding parti,” katanya dalam lawatan kerja ke Parlimen Subang di Bangunan Umno Subang di sini petang tadi.
Zin turut menyampaikan jaminan berbunyi empat rangkap pantun dihadapan kira-kira 100 ahli jentera BN supaya jangan lagi sombong;
‘Jangan sombong Jangan sombong
Kalau sombong tak dapat undi
Jangan sombong Jangan sombong
Kalau sombong kalah lagi’

“Kita kena berpimpin tangan berganding bahu.
“Kalau bercakap apa yang kita dapat secara individu, itu perangai lama Umno,” katanya.
Beliau berkata, pengajaran semasa PRU12 pada tahun 2008 memberi iktibar jelas kepada BN supaya jangan menimbulkan sebarang masalah ketika PRU semakin hampir.
Hal itu termasuk isu masalah dalam parti yang perlu diselesaikan segera.
“Minta bantuan saat akhir tolong jangan buat silap. Kita khuatir saat akhir begini…kita letih nak selesaikan masalah dalaman kita,” katanya. (cerita lanjut di sini).

Selasa, 19 Mac 2013

Pelaksanaan Tindakan



MESYUARAT Jentera Pilihan Raya UMNO Cawangan Paroi Jaya Indah yang berlangsung malam tadi (19 Mac 2013) di Pusat Daerah Mengundi Paroi Jaya telah memperincikan pelaksanaan tindakan yang perlu dilakukan sesegera mungkin.
     Mesyuarat sepakat untuk memaksimumkan gandingan tenaga yang ada untuk mendekati pengundi yang berada di Taman Paroi Jaya, Taman Pinggiran Golf, Taman PJ Perdana dan kawasan sekitarnya.
     Pasukan Jaringan Rakyat (JR) yang diketuai bekas ADUN Ampangan, Dato' Hajah Dermataksiah Abdul Jalil akan menggerakkan kira-kira 100 ahli pasukannya untuk menemui pengundi di rumah.
     "Adalah diharapkan, penduduk di sini memberi kerjasama sewaktu kami datang untuk memberi penjelasan dan untuk mendapatkan maklum balas," katanya.
     Di samping itu beberapa program sudah dirangka untuk mendekatkan parti dengan pelbagai lapisan masyarakat yang ada.
     Antaranya ceramah isu-isu semasa, perkhemahan untuk golongan belia, bengkel mengendalikan media baharu, kutipan Tabung Lahad Datu dan pelbagai lagi.

Masjid Berwajah Baharu



MASJID Kariah Paroi Jaya kini berwajah baharu apabila kerja-kerja mengecat dengan warna yang lebih segar berada di peringkat akhir.
     Kerja-kerja mengecat ini dibiayai dengan wang tabung masjid sendiri, hasil simpanan dan hadiah kemenangan beberapa pertandingan sebelum ini.
     Selain dianugerahkan Masjid Terbaik Negeri Sembilan (kategori pengurusan), Menteri Besar Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hassan turut memberi peruntukan tambahan sebanyak RM50,000 sebagai insentif.
     Kejayaan masjid tentunya berkait rapat dengan usaha yang dijalankan setiap ahli kariah yang sentiasa mengimarahkan masjid melalui pelbagai aktiviti.

Lampu Jalan Sudah Dibaiki

BEBERAPA lampu jalan yang menghadapi kerosakan di Taman Paroi Jaya dan Taman Pinggiran Golf telah dibaiki oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS).
   Bagi pihak penduduk setempat, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak MPS yang sentiasa responsif terhadap apa sahaja aduan.

Isnin, 11 Mac 2013

Masalah Yang Dalam Proses Tindakan

Taman Paroi Jaya adalah salah satu komuniti yang harmoni.

Siling yang buruk keadaannya dahulu kini sudah berubah wajah.
KAMI telah mengenalpasti beberapa masalah yang dihadapi komuniti setempat yang kini sudah dan dalam proses tindakan pihak-pihak yang berkaitan.
1. Lampu jalan (beberapa lampu jalan di Taman Paroi Jaya telah dikenalpasti tidak berfungsi dan kini sedang dibaiki).
2. Longkang tersumbat (Longkang-longkang yang tersumbat dalam kawasan PDM Paroi Jaya sudah dan dalam proses dibaiki)
3. Padang Bola Lorong Nuri (Diusahakan untuk di pagar).
4. Siling masjid yang ronoh sudah dibaiki oleh pihak Jabatan Kerja Raya.
5. Gelanggang Futsal (Gelanggang yang terletak bersebelahan balai Raya Taman Pinggiran Golf baharu sahaja digantikan dengan pagar baharu).
6. Masalah gelanggang boling yang kini terbiar dan sering dianggap gajah putih sudah dibawa ke pengetahuan pihak yang berkaitan.

Ahad, 10 Mac 2013

Inilah Masalah Kami!

KAMI amat terhutang budi kepada pengundi yang tinggal di Taman Paroi Jaya, Taman Pinggiran Golf, Taman PJ Perdana dan kuarters Klinik Ampangan yang sudi berkongsi masalah yang dihadapi di tempat masing-masing dengan mengemukakannya melalui ruang ulasan di bawah ini atau melalui e-mel sidikmaamor@gmail.com

Masalah boleh berupa kemudahan asas, hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan penduduk (kemiskinan, ibu tunggal, peluang niaga dan apa sahaja).

Pihak kami akan cuba membantu dengan menghubungi pihak-pihak yang berkaitan.

Mesyuarat PDM DUN Sikamat


MESYUARAT Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat kali kedua berlangsung di PDM Paroi Jaya malam tadi (10 Mac 2013).

Mesyuarat yang dipengerusikan Haji Mohamad Sidik Maamor ini dihadiri oleh ketua dan beberapa ahli jawatankuasa PDM Sikamat, PDM Jalan Sikamat, PDM Medan Rahang, PDM Desa Rhu, PDM Paroi Jaya dan PDM Ujong Pasir.

Antara perkara yang diberikan perhatian ialah menyelaras ceramah, menggerakkan Jaringan Rakyat (JR) dan mengenalpasti beberapa perkara sensitif yang perlu diselesaikan sesegera mungkin.

Mesyuarat turut bersetuju untuk menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai calon. Perkara ini dibangkitkan bagi mengelakkan perbuatan boikot atau tidak memberi kerjasama sebagaimana yang berlaku dalam PRU Ke-12 yang lalu.

Bagi mengelakkan pertindanan tanggungjawab, mesyuarat turut bersetuju PDM digerakkan oleh UMNO di cawangan masing-masing.